31 Januari 2012

Bercinta Kerana Allah


Agama Islam adalah agama percintaan dan kasih sayang. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 21, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

Apabila dua insan bercinta, ada yang sayang menyayang kerana “cinta berahi” yang wujud di antara mereka. Cinta berahi yang sampai ke jinjang pelamin akan terselamat dari gangguan syaitan. Cinta berahi yang tercemar dengan hasutan syaitan akan berakhir dengen keterlanjuran.

Di dalam keadaan lain, ada yang sayang menyayang kerana Allah. Bercinta sesama makhluk kerana Allah adalah lebih selamat. Ia tidak melukakan hati, tidak meresahkan jiwa, tidak merosakkan akhlak, tidak perlu risau tentang “frust”, tidak perlu melayan perasaan cemburu. Menurut Rasulullah, menyayangi seseorang kerana Allah dapat mendatangkan kemanisan iman.[1] Namun, tidak ramai yang mengetahui caranya.

Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, kecintaan seseorang yang hakiki kepada insan lain kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai insan itu kerana dzatnya (sifatnya), sebaliknya adalah kerana insan itu dapat mendekatkan diri sendiri dengan akhirat.

Menurut beliau lagi, bahawa seorang lelaki mengahwini seorang wanita soleh supaya terpelihara dari gangguan syaitan, supaya terjaga agamanya, supaya memperolehi anak-anak yang soleh dari wanita itu dan seterusnya anak-anak itu mendoakan untuknya. Lalu apabila lelaki berkenaan mencintai wanita itu kerana semua sebab-sebab di atas, maka dia adalah tergolong sebagai salah seorang pencinta kerana Allah.[2] Perkara ini dinukilankan oleh Al-Ghazali lebih kurang 1000 tahun yang lalu.

Selepas ini, apabila anda mencari cinta, carilah cinta yang wujud kerana Allah. Apabila anda menemui cinta, tanya diri sendiri kenapa anda mencintainya? Apakah kaitan cinta itu dengan akhirat anda?

Wallahu’alam.

30 Januari 2012

Cinta Yang Abadi


Cinta letaknya di hati. Biarpun tersembunyi, namun getarannya amat terasa. Ia mampu mempengaruhi akal fikiran dan memberi kesan dalam hidup. Sesungguhnya, Cinta itu dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat. Cintalah yang mampu melunakkan besi, menghancurkan batu karang, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya serta membuat budak menjadi pemimpin. Inilah dasyatnya cinta.

Namun berhati-hatilah dengan cinta, kerana cinta juga dapat membuat orang yang sihat menjadi sakit, orang yang gemuk menjadi kurus, orang yang normal menjadi gila, orang kaya menjadi miskin, raja menjadi budak, jika cintanya itu disambut oleh para pecinta palsu. Cinta yang bukan berlandaskan kepada ALLAH. Itulah para pecinta dunia, harta dan wanita. Dia lupa akan cinta ALLAH, cinta yang begitu agung lagi murni.

Cinta ALLAH cinta yang tidak bertepi. Jikalau sudah mendapatkan cinta-NYA, dan manisnya bercinta dengan ALLAH, tidak ada lagi keluhan, tidak ada lagi tubuh lesu, tidak ada tatapan kuyu. Yang ada adalah kekuatan menghadapi segala cubaan, dan rintangan dalam hidup ini. Tubuh yang kuat dalam beribadah dan melangkah menggapai cita-cita tertinggi yakni syahid di jalan-NYA jua.

Tidak jarang orang mengaku mencintai ALLAH, dan orang selalu berkata mencintai Rasulullah Saw, tetapi bagaimana semua itu diterima ALLAH tanpa ada bukti yang diberikan, sebagaimana seorang arjuna yang mengembara, menyeberangi lautan yang luas, dan mendaki puncak gunung yang tinggi demi mendapatkan cinta seorang wanita. Bagaimana mungkin menggapai cinta ALLAH, tetapi dalam fikirannya selalu dibayang-bayangi oleh wanita atau lelaki yang dicintai.

Di saat ALLAH menguji cintanya, dengan memisahkanya dari apa yang membuat dia lalai dalam mengingat ALLAH, di saat ALLAH memisahkan seorang gadis dari calon suaminya, tidak selalu wanita itu terus lemah dan terlantar kesakitan. Di saat seorang suami yang isterinya dipanggil menghadap Ilahi, sang suami pun tidak punya gairah dalam hidup. Di saat harta yang dimiliki hangus terbakar, ramai orang yang hijrah ke rumah sakit jiwa, semua ini adalah bentuk ujian dari ALLAH, kerana ALLAH ingin melihat seberapa dalam cinta hamba-hamba-NYA kepada sang penakluk jiwa, ALLAHU RABBI. ALLAH menginginkan bukti, namun manusia selalu tidak berdaya membuktikannya, justeru sering berguguran cintanya kepada ALLAH, disaat ALLAH menarik nikmat yang dicurahkan-NYA.

Itu semua adalah bentuk cinta palsu, dan cinta semua dari seorang makhluk terhadap KHALIQnya. Padahal semuanya sudah ditentukan oleh ALLAH, rezeki, maut, jodoh, dan langkah kita, itu semuanya sudah ditakdirkan ALLAH, hanya bagi kita mengupayakan untuk menjemputnya. Amat rugilah manusia yang hanya dihanyutkan oleh cinta dunia, mengejar cinta makhluk, memburu harta dengan pelbagai cara, dan enggan menolong orang yang papah. sedangkan nasib di akhyrat nanti adalah ditentukan oleh dirinya ketika hidup di dunia. Bersungguh-sungguh mencintai ALLAH, ataukah terlena oleh hidup yang fana ini? Jika cinta bukan kerana ALLAH,bagaimana mungkin ALLAH mengabulkan permintaan seorang hamba yang merintih menadahkan tangannya kepada ALLAH di malam hari, namun ketika di siang hari, dia melakukan maksiat.